THE OFFICIAL AIN FC SITE



 
2010/06/14


SELEPAS menjadi artis, maka akan terkeluarlah segala cerita lama dan lagi panas jika ia membabitkan perkara buruk yang pernah dilakukannya suatu masa dulu.

Tetapi apabila ditanya akan kesahihan berita itu, siapa yang mahu berterus-terang? Mati hidup balik tidak akan mengaku. Tetapi berbeza sekali dengan bekas pelajar AF8, Nadiawaty Ainul Basir atau Ain, 24, yang berasal dari Tuaran, Sabah. Tanpa berasa segan, dia beritahu asalnya dia adalah jurusolek artis dan ketika dia berada di AF8, dia pernah menyolek wajahnya sendiri pada konsert mingguan program realiti itu.
Dia juga beritahu rakan SS walaupun sekarang sudah bergelar penyanyi, namun dia tidak kisah untuk menyolek artis lain asalkan dapat menambah pendapatan kerana dia tahu tidak boleh terlalu bergantung kepada dunia nyanyian. Tambahan artis baru sepertinya, bukan senang hendak ‘cari makan’ dengan persaingan yang cukup sengit. Kata Ain, hobinya melukis dan apabila selalu sangat melukis, dia terbayangkan kertas lukisan itu wajah orang. Sejak itu dia cuba pula menjadi jurusolek dan ternyata menjadi. Dalam diam, sudah empat tahun dia menjadi jurusolek. Menurut Ain, ketika di Tuaran dulu, dia pernah menjadi model sambilan dan jika ada jemputan membuat pertunjukan, dia akan bersolek sendiri. Ia juga boleh menjimatkan kos kerana tidak perlu membayar khidmat jurusolek luar. Bukan itu saja, Ain juga menyolek pengantin. Selepas ini, siapa yang mahukan Ain menyolek wajah mereka, bolehlah menghubunginya. Dijamin wajah anda nanti bertambah berseri-seri dan jelita macam Ain juga. Sebenarnya Ain memang mahu serius dalam bidang solekan dan sebelum menyertai AF8, dia sudahpun belajar secara formal di Akademi Rozsall Beauty Salon di Kota Kinabalu selama setahun. Tetapi Ain tidak dapat hadir pada majlis penyampaian sijil akademi itu kerana pada masa itu, dia sudah berada di AF8.



Walaupun sekarang Ain begitu berkobar-kobar hendak membuka salon kecantikan, namun minatnya dalam bidang nyanyian akan diteruskan. Tambahan pula, dia sudah ada satu lagu single ciptaan Kru berjudul Penanggung Sepi. Klip video lagu itu pun sudah ada.



Bagaimanapun, sekiranya nasib Ain tiada dalam bidang seni, SS yakin tiada masalah baginya kerana dia boleh meneruskan kerjayanya sebagai jurusolek dan SS juga yakin, impian Ain untuk memiliki salon sendiri akan tercapai tidak lama lagi. Dia pun sudah dikenali ramai dan tentu ramai peminatnya hendak mendapatkan khidmat Ain menyolek wajah mereka.



Aha! bagaimana pula hubungannya dengan Maulana, rakan baiknya ketika di AF8 dulu. Puas dirisik dalam senyuman penuh makna, jelas Ain, mereka hanya kawan baik. Sama ada benar atau tidak mereka hanya berkawan, kita tunggu sajalah perkembangannya nanti kerana khabarnya, Maulana dah putus kasih dengan buah hatinya itu. Bukan kerana Ain penyebabnya tetapi si gadis yang minta putus. Macam-macam hal. Apapun SS harap sebelum mengejar cinta, Ain kejarlah cita-cita dulu.


 
 
by Ashraf Abd Manaf | 13 Jul 2010
Picture
Perjalanannya di dalam industri seni tempatan masih jauh. Malah bakatnya juga belum lagi benar-benar teruji. Namun di sebalik itu semua, pendatang baru yang semakin dikenali, Ain AF8 sudah diterjah dengan pelbagai gosip. Ada yang mengatakannya suka berlagak 'diva', tidak menghormati pihak media serta 'kekwat' atau sombong tidak bertempat.

Ain, yang mula dikenali selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), mengakui dia juga terdengar gosip tersebut. Namun dia lebih senang mendiamkan diri kerana tidak mahu gosip yang dianggapnya sebagai kecil itu melarat dan akhirnya membunuh karier seninya.

"Sebenarnya isu ini saya dengar ketika saya mula-mula keluar daripada AF8 lagi. Semuanya gara-gara sikap saya di dalam program tersebut yang agak gila-gila dan dalam masa yang sama cakap lepas.

"Ini kerana di dalam program tersebut saya mahu orang melihat diri saya yang sebenar. Bukan yang sentiasa 'control' ayu supaya peminat suka dengan personaliti saya. Daripada situ timbullah cerita yang mengatakan saya sombong atau 'kekwat'.

"Mungkin dengan orang yang saya kurang kenal, saya agak diam. Tetapi apabila sudah mengenali saya, barulah mereka tahu bagaimana sikap saya yang sebenar," katanya yang kini bernaung di bawah label Astro Entertainment Sdn. Bhd.

Dalam pertemuan dengan GUA ini, Ain sempat memohon maaf kepada mana-mana pihak yang pernah tersinggung dengan sikapnya selama ini. Katanya akibat daripada pelbagai gosip yang melandanya, sedikit sebanyak ia memberikan tempias kepada kerjaya seninya. Oleh sebab itu, dia mengambil inisiatif untuk lebih berhati-hati apabila bertutur atau tampil di khalayak ramai.

"Saya memang telah merasai kesannya. Gara-gara perkara tersebut, kelab peminat saya yang sebelum ini telah bertungkus lumus untuk mengadakan sebuah majlis buat saya terpaksa membatalkannya di saat-saat akhir apabila pihak penaja menarik diri kerana terbaca mengenai perkara-perkara negatif berkaitan dengan diri saya.

"Daripada apa yang berlaku itu, saya belajar dan menimba lebih banyak pengalaman. Barulah kini saya sedar betapa sukarnya untuk menjadi artis. Maklumlah saya sudah menjadi 'public figure' dan apa sahaja yang saya lakukan akan menjadi perhatian orang ramai. Oleh sebab itu, saya kini sentiasa mengawal tingkahlaku supaya tidak kelihatan keterlaluan di hadapan peminat," katanya yang bukan sahaja mampu menyanyi malah berkebolehan bermain gitar dengan baik.

Teman tapi mesra dengan Maulana
Selain dikatakan kekwat, gadis manis ini juga dikatakan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan Maulana yang juga merupakan bekas peserta program AF8.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Ain sambil tersenyum senang memberitahu, dia dan Maulana hanya berkawan rapat. Namun mengakui serasi apabila berdua kerana masing-masing mempunyai minat yang sama.

"Saya tak kisah kalau orang nak kata saya dengan Maulana 'teman tapi mesra' atau apa sahaja. Ini kerana kami berdua memang rapat tetapi belum masuk dalam kategori bercinta.

"Sejak di dalam AF8 lagi kami rapat dan sehingga kini hubungan kami bertambah rapat. Apa yang menyebabkan saya suka dengan Maulana adalah sikapnya yang baik, kreatif dan mudah membantu," katanya.

Mengenai khabar angin yang mengatakan dia selalu mengawal pergerakan Maulana atau lebih tepat 'queen control', Ain menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Katanya tiada sebab mengapa dia perlu mengongkong Maulana sedangkan antara mereka tiada sebarang perhubungan yang istimewa.

"Saya tidak pernah kongkong dia. Mungkin ada pihak yang salah faham apabila saya selalu menjeling ke arahnya apabila dia berkata-kata. Itu bukan bermakna saya mengongkong Maulana, sebaliknya saya sekadar mahu menyakatnya.

"Sebab dia juga selalu menyakat saya dan apa yang boleh saya katakan, apa yang kami berdua lakukan hanya sekadar bergurau. Jadi saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi pihak yang salah faham," katanya yang selesa memanggil Maulana dengan nama manja, Mau.

Tatkala ditanya jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan Maulana, Ain memberitahu jika sudah jodoh, apa lagi yang boleh dilakukanya selain menerima dengan hati terbuka. Namun buat masa ini mereka lebih selesa berkawan rapat walaupun serasi bersama.

"Serasi tidak bermakna kami berdua bercinta," katanya sambil tersenyum penuh makna.