THE OFFICIAL AIN FC SITE



 
by Ashraf Abd Manaf | 13 Jul 2010
Picture
Perjalanannya di dalam industri seni tempatan masih jauh. Malah bakatnya juga belum lagi benar-benar teruji. Namun di sebalik itu semua, pendatang baru yang semakin dikenali, Ain AF8 sudah diterjah dengan pelbagai gosip. Ada yang mengatakannya suka berlagak 'diva', tidak menghormati pihak media serta 'kekwat' atau sombong tidak bertempat.

Ain, yang mula dikenali selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), mengakui dia juga terdengar gosip tersebut. Namun dia lebih senang mendiamkan diri kerana tidak mahu gosip yang dianggapnya sebagai kecil itu melarat dan akhirnya membunuh karier seninya.

"Sebenarnya isu ini saya dengar ketika saya mula-mula keluar daripada AF8 lagi. Semuanya gara-gara sikap saya di dalam program tersebut yang agak gila-gila dan dalam masa yang sama cakap lepas.

"Ini kerana di dalam program tersebut saya mahu orang melihat diri saya yang sebenar. Bukan yang sentiasa 'control' ayu supaya peminat suka dengan personaliti saya. Daripada situ timbullah cerita yang mengatakan saya sombong atau 'kekwat'.

"Mungkin dengan orang yang saya kurang kenal, saya agak diam. Tetapi apabila sudah mengenali saya, barulah mereka tahu bagaimana sikap saya yang sebenar," katanya yang kini bernaung di bawah label Astro Entertainment Sdn. Bhd.

Dalam pertemuan dengan GUA ini, Ain sempat memohon maaf kepada mana-mana pihak yang pernah tersinggung dengan sikapnya selama ini. Katanya akibat daripada pelbagai gosip yang melandanya, sedikit sebanyak ia memberikan tempias kepada kerjaya seninya. Oleh sebab itu, dia mengambil inisiatif untuk lebih berhati-hati apabila bertutur atau tampil di khalayak ramai.

"Saya memang telah merasai kesannya. Gara-gara perkara tersebut, kelab peminat saya yang sebelum ini telah bertungkus lumus untuk mengadakan sebuah majlis buat saya terpaksa membatalkannya di saat-saat akhir apabila pihak penaja menarik diri kerana terbaca mengenai perkara-perkara negatif berkaitan dengan diri saya.

"Daripada apa yang berlaku itu, saya belajar dan menimba lebih banyak pengalaman. Barulah kini saya sedar betapa sukarnya untuk menjadi artis. Maklumlah saya sudah menjadi 'public figure' dan apa sahaja yang saya lakukan akan menjadi perhatian orang ramai. Oleh sebab itu, saya kini sentiasa mengawal tingkahlaku supaya tidak kelihatan keterlaluan di hadapan peminat," katanya yang bukan sahaja mampu menyanyi malah berkebolehan bermain gitar dengan baik.

Teman tapi mesra dengan Maulana
Selain dikatakan kekwat, gadis manis ini juga dikatakan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan Maulana yang juga merupakan bekas peserta program AF8.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Ain sambil tersenyum senang memberitahu, dia dan Maulana hanya berkawan rapat. Namun mengakui serasi apabila berdua kerana masing-masing mempunyai minat yang sama.

"Saya tak kisah kalau orang nak kata saya dengan Maulana 'teman tapi mesra' atau apa sahaja. Ini kerana kami berdua memang rapat tetapi belum masuk dalam kategori bercinta.

"Sejak di dalam AF8 lagi kami rapat dan sehingga kini hubungan kami bertambah rapat. Apa yang menyebabkan saya suka dengan Maulana adalah sikapnya yang baik, kreatif dan mudah membantu," katanya.

Mengenai khabar angin yang mengatakan dia selalu mengawal pergerakan Maulana atau lebih tepat 'queen control', Ain menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Katanya tiada sebab mengapa dia perlu mengongkong Maulana sedangkan antara mereka tiada sebarang perhubungan yang istimewa.

"Saya tidak pernah kongkong dia. Mungkin ada pihak yang salah faham apabila saya selalu menjeling ke arahnya apabila dia berkata-kata. Itu bukan bermakna saya mengongkong Maulana, sebaliknya saya sekadar mahu menyakatnya.

"Sebab dia juga selalu menyakat saya dan apa yang boleh saya katakan, apa yang kami berdua lakukan hanya sekadar bergurau. Jadi saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi pihak yang salah faham," katanya yang selesa memanggil Maulana dengan nama manja, Mau.

Tatkala ditanya jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan Maulana, Ain memberitahu jika sudah jodoh, apa lagi yang boleh dilakukanya selain menerima dengan hati terbuka. Namun buat masa ini mereka lebih selesa berkawan rapat walaupun serasi bersama.

"Serasi tidak bermakna kami berdua bercinta," katanya sambil tersenyum penuh makna.